Adab Dalam Memberi Nasihat dan Teguran Dalam Islam
Bismillah...
ADAB DALAM MEMBERI NASIHAT DAN TEGURAN |
||
Agama Islam adalah agama yang sempurna, Islam bukan sahaja menyuruh umatnya untuk beribadah seperti sembahyang, puasa, menunaikan haji dan sebagainya. Malahan agama Islam juga menyuruh umatnya untuk menjaga kesejahteraan hidup, berkerjasama dan bantu-membantu antara satu sama lain. Oleh itu bagi mencapai tujuan tersebut, Islam mengajar umatnya untuk saling nasihat-menasihati dan tegur-menegur antara satu dengan yang lain. Menasihati dan menegur adalah perbuatan yang sangat baik dan dianjurkan dalam Islam, sememangnya kita sebagai manusia perlu mendapat teguran supaya kita menyedari kesilapan, kesalahan dan kelemahan diri sendiri.
Perlu
diingat, nasihat atau teguran yang disampaikan perlulah dengan adab dan
sopan. Kerana tanpa adab dan cara yang betul, ia bukan sahaja akan
menimbulkan salah faham bahkan akan menimbulkan kemarahan orang yang ditegur
dan menyebabkan terjadinya pertengkaran kerana tidak semua orang boleh
menerima nasihat dan teguran. Oleh itu, adab dan sopan perlu seiring dalam
menasihati, menegur dan memberikan pendapat. Niat kita menegur seseorang itu
mestilah betul, demi kebaikan dan bukannya bertujuan untuk menjatuhkan,
menghina, mendedahkan aib atau berniat buruk. Oleh itu cara kita menegur
mestilah berhemah, berhati-hati dan jangan sengaja mencari kelemahan orang
yang ditegur. Sabda Rasullullah Sallallahu Alaihi Wassallam: عن تميم الداري : أن النبي صلى الله عليه وسلم قال : الدين
النصيحة قلنا : لمن؟ قال : لله ولكتابه ولرسوله ولائمة المسلمين وعامتهم. (رواه
الإمام مسلم) Maksudnya: Daripada Tamim Midari, bahawa Nabi Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda: Agama itu nasihat. Kami bertanya: Kepada siapa? Baginda bersabda: Kepada Allah, kepada kitabNya, kepada rasulNya, kepada para pemimpin kaum muslimin, dan kaum muslimin secara umum. Sesungguhnya setiap
nasihat atau teguran perlu diteliti dan dihalusi, orang yang menegur mestilah
dalam keadaan tenang dan bukannya dalam keadaan marah dan emosi sehingga
mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya kerana semua itu tidak akan
menyelesaikan mestilah, akan tetapi sebaliknya akan mengeruhkan lagi keadaan.
Ada tatacara dan adab yang perlu kita ambil perhatian dalam menasihati dan
menegur dengan cara yang baik, antaranya ialah: Pertama: Berilah
nasihat dan teguran dengan bahasa dan suara yang lembut, janganlah sesekali
kita menasihati dan menegur dengan suara yang tinggi dan menggunakan bahasa
yang angkuh dan seumpamanya kerana kita menasihati dan menegur bukan untuk
mendedahkan aib orang. Firman Allah
Subhanahu Wata'ala dalam surah Taha ayat 44: أعوذ بالله من الشيطان الرجيم فَقُولَا لَهُۥ قَوْلًا لَّيِّنًا لَّعَلَّهُۥ يَتَذَكَّرُ أَوْ
يَخْشَىٰ صدق الله العظيم “Maka
kamu katakan kepadanya kata-kata yang lemah-lembut, mudah-mudahan dia
beringat (sedar) atau takut (kepada Tuhan)” Kedua:
Elakkanlah dari menasihati dan menegur kesilapan atau kesalahan di depan
orang ramai, nasihati dan tegurlah ketika dia sedang bersendirian atau ketika
berada di tempat yang tertutup, berilah nasihat dan teguran dengan adab dan
cermat bukannya dengan cara yang boleh menimbulkan perasaan malu kepada orang
yang ditegur. Ketiga:
Berilah nasihat dan teguran dengan menggunakan perkataan-perkataan yang baik
dan bermanfaat agar tidak menyinggung perasaan orang yang ditegur,
berhati-hati dalam memilih perkataan yang sesuai agar orang itu tidak merasa
terhina dan rendah diri. Berilah nasihat dengan akal fikiran dan hati
bukannya dengan emosi. Keempat:
Orang yang menasihati dan menegur hendaklah meminta maaf selepas membuat
teguran kerana tujuan meminta maaf itu adalah untuk memujuk perasaan orang
yang ditegur supaya jangan terasa hati di atas nasihat dan teguran yang
diberikan. Apabila kita ingin menasihati dan menegur seseorang, nasihati dan
tegurlah sebagaimana kita inginkan diri kita ditegur atau dinasihati dan
tegurlah sebagaimana kita inginkan anak dan ahli keluarga kita ditegur. Kelima:
Sentiasa bersangka baik terhadap orang yang kita nasihati dan tegur kerana
mungkin mereka tidak mengetahui apa yang mereka lakukan itu adalah satu
kesalahan. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Al-Hurujat ayat 12: أعوذ بالله من الشيطان الرجيم يٰٓأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا۟ اجْتَنِبُوا۟ كَثِيرًا مِّنَ
الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ صدق الله العظيم “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu dosa” Budayakanlah
amalan nasihat-menasihati dan tegur-menegur dengan kata-kata yang
lemah-lembut dan berbudi-bahasa. Berilah nasihat dan teguran dengan niat yang
ikhlas semata-mata kerana Allah Subhanahu Wata'ala dan dengan cara yang penuh
berhemah agar nasihat dan teguran dapat diterima dengan hati yang terbuka.
Terimalah nasihat dan teguran dengan perasaan bersangka baik supaya kita
dapat memperbaiki diri dan mengeratkan silaturrahim antara kita. Akhirnya,
sama-samalah kita berdoa semoga kita semua akan hidup rukun damai, harmoni
dan bersatu-padu dan semoga kita semua akan mendapat keselamatan,
kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Amin Ya Rabbal Alamin. Surah
An-Nahl ayat 125: أعوذ بالله من الشيطان الرجيم ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ
الْحَسَنَةِ ۖ وَجٰدِلْهُم بِالَّتِى هِىَ أَحْسَنُ ۚ صدق الله العظيم “Serulah ke jalan Tuhanmu Wahai Nabi Muhammad dengan hikmah (kebijaksanaan) dan nasihat pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang terbaik” ~ Wallahua'lam... |
adab dan sopan yang sering diketepikan..
ReplyDeleteBanyak sgt adab² yg semakin dilupakan skg
DeletePernah di tegur oleh seseorang. Teguran yg sgt open dan rasa mcm "kenapa tak ajak ketepi dan di tegur?"
ReplyDeleteTak pernah terpikir ke yang di tegur tu akan rasa malu dengan teguran terlalu terbuka itu? Tapi takpelah.. Saya dah maafkan dia cuma Kadang2 teringat
Itulah kenapa Islam sgt mengambil berat tentang adab dlm menegur. Yg ditegur memang sdh memaafkan tetapi lukanya tetap meninggalkan parut..
DeleteSekarag ni adab dok kat belakang.... huhu
ReplyDeleteMakin kedepan zaman makin kebelakang pulak adab dan sopan
Deletebiasalah manusia..ada yg boleh ditegur...tp ramai gak yg mudah sentap. jd pandai2 la bila menasihati org...
ReplyDeleteManusia oh manusia..
DeleteHaah kadang-kadang ada rasa sentap tapi fikir isi nasihat yang diberi.
ReplyDeleteApa² nasihat pun kita patut terima. Baik, buruk, pahit segala.. cuma yg memberi nasihat/teguran tu perlulah lebih berhati² jgn sampai mengguris hati org
Delete